Assalamualaikum,hmm,dah lama kan saya tak update berita-berita baru.Ok,hari ni diharapkan korang baca apa yang saya nak tulis ni.
Hari tu saya bertanya kepada rakan facebook saya mengenai pemakaian purdah.Tahu tak purdah tu apa?(ade ke tanya soalan bijak ni kat kami,kami tahu lah)
ok,kalau korang dah tahu.mari kita baca post saya ni sampai habis.Maka,semakin banyak persoalan yang saya tanya tu sehingga ada diantara soalan saya lebih berbunyi khusus.
Dari pada blog yang saya dapat,ada akak ni menjelaskan tentang purdah ni dengan terperinci lah jugak,jadi mari baca post ni sampai habis.ok,kesimpulanya saya hanya copy & paste dari kakak tu.
1. Allah swt tingkatkan nur wajah 13 x ganda dari wajah asli.
2.
Di akhirat Allah swt akan tingkatkan kecantikannya 70 x ganda dari
kecantikan bidadari La aiba. Seorang bidadari yang Allah swt ciptakan
dengan tangan-Nya sendiri
3.
Di surga ada pasar hari Jum`at, orang semua pergi menjumpai Allah swt,
tetapi orang yang pakai purdah di dunia ditemui Allah swt lagsung ke
kamar- kamarnya.
Mari
sama-sama kita fikirkan adakah jika para wanita yakin bahawa jika anda
berada di hadapan Baginda SAW hari ini, adakah Rasulullah akan tersenyum
atau sebaliknya?
Jika sebaliknya, bagaimana pula peluang wanita seperti ini untuk
mendapat Syafaat Nabi SAW di akhirat kelak?. Benar, mungkin seseorang
wanita itu berjaya meraih pandangan istimewa dari kaum lelaki hasil
pendedahan kecantikannya yang memukau. Tapi keseronokan itu hanyalah
palsu dan sementara sahaja, serta tidak menambah sebarang nilai buat
kehidupan kekal di Barzakh dan Akhirat selain menambahkan tahap azab
sahaja.
Apa yang jelas, pakaian yang ditunjukkan oleh wanita Arab yang solehah
dengan penutupan aurat yang sempurna di zaman ini sudah tentu boleh
memberi sedikit info kepada kita bahawa inilah mungkin pakaian yang
dipakai oleh wanita Islam di zaman Nabi serta mendapat redha dari mata
dan hati baginda SAW. Tidakkah para wanita hari ini juga berminat meraih
redha dari mata dan hati baginda SAW?.
BENARKAH MENUTUP AURAT DAPAT MENGELAK DARI WANITA DISAKITI?
Ramai wanita professional dan yang kurang didikan agama hari ini
mencebik bibirnya apabila tajuk ini disebutkan, mereka tidak percaya
langsung fakta yang disebutkan diatas. Malah ada yang berpendapat lelaki
sengaja melakukan perkara buruk kepada wanita kerana ingin menunjukkan
kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar kita dengar hujah ini di media
massa.
Hakikatnya, sebagai hamba Allah SWT dan umat Rasulullah SAW kita
diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi mendapat kepastian
tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu. Dalam hal
ini, Allah SWT berfirman :-
“Hai Nabi!
Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan
isteri-isteri orang mu’min semua hendaklah mereka melabuhkan
jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih
memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka
tidak diganggu.” (al-Ahzab: 59)
Jilbab,
iaitu pakaian yang lebarnya semacam jubah untuk dipakai oleh kaum
wanita bagi menutupi tubuh badannya. Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi
menerangkan “Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka
suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan
rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan
yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan
kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu
sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu
tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan
dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah
diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.
Jadi jelasnya, bahawa ayat tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama
perintah ini adalah kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh
orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina.
Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau kerana
tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan sesetengah orang,
tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan
perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya
dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan
menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina.
(Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit pindaan)
Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa salah satu target utama
menutup aurat yang diletakkan oleh Allah SWT adalah sebagai kaedah dan
cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan disakiti.
BANTAHAN KAUM WANITA
“Eleh,
tetapi hari ini ramai juga wanita bertudung yang kena rogol, malah
setengahnya kena bunuh dijerut dengan tudungnya pulak, kanak-kanak pun
kena rogol dan bunuh. Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la
ustaz. Ha..macam mana ustaz nak jawab tu ?. Hujah balas yang selalu
didengar bila isu ini ditimbulkan.
“Pernah tak anda merasa amat marah sepanjang hidup anda ?”.Jika anda mengatakan pernah , apa kaitannya?”
“Biasanya bila seseorang itu sedang marah, sempat tak agaknya ia
berfikir bahaya atau tidak tindakan yang dibuatnya sebagai contoh; ada
orang yang sedang marah kerana bising tangisan kanak-kanak, maka
ditendang (seperti berita yang dikeluarkan olehakhbar baru-baru ini),
ditolak jatuh tangga, ditekup wajah kanak-kanak itu dengan bantal dan
macam-macam lagi bagi menghilangkan kemarahan atau gangguan bising itu,
setelah beberapa ketika mungkin baru seolah-olah dia tersedar, lalu
cemas dan mungkin menyesal”
“Demikianlah juga nafsu jahat, bila ia berada di tahap tinggi, ia tidak
lagi melihat samada kepada pakaian dan umur wanita mahupun isteri orang
dihadapannya, sasarannya hanya mendapatkan hajat jahatnya, kerana itulah
wanita yang menutup aurat dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan
juga terancam, tanpa dapat dinafikan juga peranan vcd, laman web,
akhbar, majalah dan novel lucah ” .
“Tapi macam mana pulak ayat tadi kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita dari disakiti ?” .
“Jika kita lihat dengan teliti, ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada
seluruh kaum wanita. Ini bermaksud, jika sebahagian besar wanita tidak
mentaatinya dan memakai pakaian seksi pula. Di ketika itu, faedah dan
kebaikan dari tutup aurat bagi menjaga semua kaum wanita dari disakiti
secara umum akan tergugat dari mencapai matlamat umumnya. Sebenarnya,
ayat itu nak beritahu bahawa seluruh wanita bertanggung jawab menjaga
keselamatan kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing”.
“Maka bila ada yang seksi, ini bermakna, ia sedang mengancam kaum
sejenis anda yang lain dan di tempat lain kerana telah menghidupkan
nafsu kebinatangan lelaki jahat yang sedang tidur”
Tapi itulah cabaran terbesar lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA,
wanita dan seluruh kecantikan yang dikurniakan Allah SWT kepadanya
sebagai ujian, ia disebutkan oleh Allah SWT :
زين للناس حب الشهوات من النساء والبنين
“Dihiaskan (diuji) bagi manusia itu, nafsu syahwat dan keinginan serta kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta…”
Ayat ini dengan jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi SAW juga pernah bersabda :
ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء
Ertinya : “Tidak
aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada
lelaki selain wanita” (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )
ANTARA LAWAK & HUKUM
Sering kali lelaki apabila mereka terlihat aurat wanita
sebegini akan disebut .. “tak pe kan, pandangan pertama tak
berdosakan?”. Sedih kita melihat sikap sebahagian umat Islam hari ini
yang kerap mempermainkan hukum hakam akibat kejahilan mereka.
Sebuah hadith :
“Dari Jarir
bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w.
tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka
jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!“
(Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)
- Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.
Apabila ia adalah sebuah hukum, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan apa jua berkaitan dengannya. Nabi SAW bersabda :-
ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب
Ertinya : ”
Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa
mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh
mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” (
Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)
KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT
KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt’ berlengan pendek.
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda’.
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

“Hendaknya
mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan jangan kamu
mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir.”
(an-Nur: 31)
Pengertian khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk
menutup kepala. Sedang apa yang disebut ‘juyub’ kata jama’ (bentuk
plural) dari kata jaibun, yaitu belahan dada yang terbuka, tidak
tertutup oleh pakaian/baju.
Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan
bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang
boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat
oleh orang-orang yang jahat hatinya.
Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan perempuan
dalam ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk
mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut
dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up
dan sebagainya.
Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan
supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk
dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa
yang terzahir. Oleh karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat
tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.
Misalnya sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam
menafsirkan apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin.
Yang berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru,
harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga
kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan.
Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin
Jubair, ‘Atha’, Auza’i dan lain-lain.
Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah r.a, Qatadah dan lain-lain
menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan
demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan adalah
dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan
sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari
mendedahkannya.
Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan
cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk
memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua
termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh
dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang
memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian
laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram.
Namun, kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus
bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya
itu sendiri (memakai purdah), demi menjaga meluasnya kerosakan dan
banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau
perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikawatirkan
akan menimbulkan fitnah.
“Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya.” (an-Nur: 31)
Kesemua
jenis berpakaian yang disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat
seluruh Ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan
mu’minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan
perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga
(anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai),
perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (paha, betis dan
gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki
lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang
ada rukhsah untuk dinampakkan.
Amat jelas
dari dalil al-Quran dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan
memakai pakaian yang membentuk tubuh dan nipis sehingga nampak kulitnya.
Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan
bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah,
seperti: buah dada, paha, dan sebagainya.
Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya
itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai
buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang
berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan
mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar
punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat
akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh
perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim)
Mereka
dikatakan berpakaian, kerana memang mereka itu melilitkan pakaian pada
tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup
aurat, kerana itu mereka dikatakan telanjang, kerana pakaiannya terlalu
tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan
pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof
Al-Qaradawi)
‘Bukhtun’
adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk)
besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut kerana
rambutnya ditarik ke atas.
Disebalik keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi
di zaman sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan
rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih
parah pula apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini.
Larangan Nipis
Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma’ binti Abubakar
pernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak
kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:
“Hai Asma’! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup
umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini —
sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya.” (Riwayat Abu Daud)
Walaupun terdapat perawi lemah dari hadis, tetapi diperkuat dengan
hadis-hadis lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan
ketika diyakini tidak akan membawa fitnah.
Dr Yusof Al-Qaradawi menegaskan bahawa melihat secara normal kepada
wanita atau lelaki, kepada selain aurat, selama tidak dilakukan dengan
syahwat dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal. (Al-Halal Wal Haram
Fil Islam)
KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-
يرحم الله المتسرولات
Ertinya : Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar
panjang (di sebelah dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu
Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .
Menurut
Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita
jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan
para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka
para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai
respond Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadith di atas. ( Al-Bayan wa
At-Ta’rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)
Berdasarkan dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita
yang tidak berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik
kenderaan. Demikianlah menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu
Usul Fiqh.
KESALAHAN KESEPULUH : Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya
tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki.
Samada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita
menerusi nyanyian kerana sesaat sahaja ia berada di atas pentas dengan
pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak
tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga
membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun
penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.
Larangan ini datang dari Firman Allah SWT :
“Janganlah
perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan
menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit.” (al-Ahzab: 32)
TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT
Berdasarkan
dalil Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu
remeh . Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati’e dan usul. Malah
ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh
Syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh
mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah,
bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya
hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan mensasarkan dosa
‘buka aurat’ ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam
Al-Quran dari firman Allah ertinya :-
“ Maka
Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan
kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya ..” Al-A’raf :
20)
Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :-
a) Perbezaan dengan binatang.
Allah SWT berfirman :
” Wahai anak
Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup
aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan” ( Al-A’raf : 26)
Amat jelas dari
ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang termasuk
dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru barangsiapa yang
berpaling dari arahan ini, secara langsung ia menjatuhkan tahapnya
selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan dan aqal bagi
menjalankan arahan penutupan aurat.
b) Agar kaum wanita tidak disakiti
Ia berdasarkan ulasan yang telah dibuat sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.
c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.
Ia
juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT
menyebut : « .. yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali
(sebagai wanita Islam).. »
Dari sini jelas, menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat juga adalah sebagai syiar diri sebagai penganut Islam. Firman Allah : « Barangsiapa yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati »
d) Tanda profesionalism dalam sistem pemakaian Islam.
Kita dapat
memerhati bagaimana ‘trend’ sesebuah organisasi atau restoran hebat hari
ini pasti meletakkan ‘dress code’ tertentu bagi kakitangannya dan para
tetamunya. Ia pastinya bertujuan penjagaan standard khas bagi organisasi
dan restoran itu di tahap tertentu. Sebagai contoh, kita tidak akan
dapat melihat individu berselipar Jepun di sebuah Persidangan
Antarabangsa di PICC, Putrajaya mahupun di kalangan kakitangan PETRONAS
di pejabat mereka di Menara Berkembar. Semua menjaga ‘standard’
berbanding Tauke kedai runcit yang tidak beruniform.
Justeru, Islam adalah satu agama dan cara hidup yang profesional
pastinya begitu lengkap menyediakan panduan melengkapi setiap sudut
kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam
tandas hinggalah ekonomi dan kenegaraan. Walaupun demikian, Islam tidak
mengarah umatnya membuat perkara yang tidak rasional, justeru, sudah
tentu ‘standard’ pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan
ia amat bertepatan dengan logik aqal manusia yang sihat.
e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT.
Maka hal ini amat jelas, dari firman Allah ertinya : Dijadikan hidup dan mati adlah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya” (Al-Mulk : 2)

DON’T JUDGE A BOOK BY ITS COVER
Ungkapan
ini sering kita dengari. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat
yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia
berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.
“Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi” Katanya memberi buah fikirannya.
“Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok” tambah wanita ini lagi.
Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di
dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance’ hujahnya lantas
berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :
“Sesungguhnya
Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi
melihat kepada hati dan amalan kamu” (Riwayat Muslim)
Simpati
bercampur kesal bila kita mendengar bagaimana terdapat orang yang
sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya
digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.
“Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game’
semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak
disiapkan, lalu si majikan berkata: “Macam mana kamu nak cemerlang
dalam kerja kalau begini sikap kamu”
Lalu jawab si pekerja : ” Saya luaran je nampak main ‘game’ boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang”
Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?.
Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik
dengan melanggar perintahNya ?
Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut
neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata.
Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :
“Ketahuilah,
bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya
baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan
seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan
hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat
di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya
sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah
tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan
kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat
pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua
adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah atau selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.
Justeru,
‘we can judge a book by its cover in certain cases’ iaitu apabila
perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting
what’s inside the heart of a person’.
Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :
إنما
أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض ,
فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع
له قطعة من النار
Ertinya
: Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes
pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih
cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan
hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku
jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang
cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu
mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )
Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan
membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian
juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran
hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap
baik oleh Islam.
Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap
lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang.
Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi
kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang
memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya
dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW
من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً
Ertinya
: Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan
dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya..” (
Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )

Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori
pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya
mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang
bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira
baik ? setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya ?.
Sesungguhnya
Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih
sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang
dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya
juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka
mengapa tindakan masih seolah meraguinya. ?
^SESUNGGUHNYA YANG TERTUTUP ITU INDAH^